Tumbuhan itu adalah warisan yang tidak ternilai kepada manusia kerana selain menyedapkan lagi hidangan, herba juga mempunyai banyak khasiat berguna untuk penjagaan kesihatan badan dan kecantikan.
Untuk masyarakat tempatan, kita memang tidak dapat lari daripada beberapa bahan seperti lengkuas, halia, kunyit, bawang serta serai yang sememangnya sentiasa ada di dapur.
Dulu kala, halia atau nama botaninya, Zingiber officinale, digunakan sebagai bahan untuk merawat luka dan mencegah jangkitan parasit, tetapi kerana kurang pendedahan mengenai khasiatnya, sebahagian besar generasi masa kini mengenali halia hanya sebagai satu rempah ratus masakan.
Tumbuhan ini dikatakan berkesan untuk merawat loya dan mual, namun untuk ibu yang hamil, pengambilannya tidak digalakkan. Ia juga membantu untuk melegakan kesakitan perut selain mengelakkan kekejangan akibat cuaca panas.
Di Asia Tenggara, halia sebenarnya banyak digunakan untuk membantu menangani beberapa jenis penyakit seperti berkaitan penghadaman, angin serta memanaskan badan kerana ia kaya dengan pati minyak, oleoresin, protein, lemak, asid organik serta vitamin A, B, dan C.
Pokok kunyit pula sememangnya unik kerana ia mempunyai pelbagai kegunaan. Daun kunyit biasanya digunakan untuk memberi aroma serta warna kuning kepada masakan seperti rendang, gulai selain dijadikan sebagai pembalut ikan atau daging yang dibakar. Dalam perubatan, kunyit atau nama botaninya, Curcuma domestica digunakan sebagai antioksidan, antibakteria dan antiradang. Ia dikatakan membantu menyembuhkan luka di dalam badan, membantu proses pencernaan serta menghilangkan selesema. Kajian menunjukkan peranan kunyit dalam perubatan sudah dikenal pasti sejak 3,000 tahun lalu. Bagi masyarakat Melayu, kunyit sering digunakan sebagai jamu untuk ibu selepas bersalin bagi mengecutkan rahim serta mencuci darah. Masyarakat Cina pula percaya isi kunyit boleh membantu melancarkan darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku.
Masyarakat India menggunakan kunyit sebagai bahan utama dalam masakan rempah kari serta acar pedas dan ilmu perubatan India mengesyorkan kunyit sebagai pes untuk mengubati penyakit kulit, gatal-gatal dan depilatori. Lebih menarik, masyarakat di negara jiran, Thailand, mempercayai kunyit dapat merawat bisa patukan ular tedung dan dikatakan ada penyelidikan yang membuktikan herba itu membantu untuk menguatkan pundi hempedu, menyekat pembekuan darah serta mengurangkan toksin pada hati.
Tanaman herba yang biasa ditanam di sekitar rumah, lengkuas atau nama saintifiknya, Alpinia galanga, pula tidak kurang hebatnya daripada segi khasiat.
Tergolong dalam keluarga Zingiberaceae, lengkuas dipercayai mempunyai khasiat untuk menambahkan selera makan serta membantu membersihkan darah, mencairkan kahak, merawat penyakit limpa bengkak dan mempunyai ciri afrodisiak, penyebab utama ia banyak dijadikan sebagai salah satu bahan dalam menguatkan tenaga.
Herba lain seperti asam gelugur juga mempunyai banyak kebaikan kepada kesihatan badan. Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, asam gelugur atau nama saintifiknya Garcinia atroviridis yang mengandungi asid hydroxycitris dianggap antara ejen terbaik mengurangkan kolesterol.
Asam gelugur dipercayai dapat membantu mengurangkan asid lemak selain meningkatkan pengeluaran glikogen di hati serta meningkat suhu badan.
Bawang putih atau Alium sativum pula memang sudah menjadi bahan dapur utama ketika memasak kerana aroma dan rasa yang dihasilkan menambah perisa pada setiap hidangan. Penggunaan bawang putih sebenarnya bukan sekadar untuk menyedapkan makanan semata-mata kerana ada kajian yang mendapati khasiat bawah putih untuk kesihatan. Penduduk awal Amerika menggunakan bawang liar untuk merawat demam, batuk dan asma manakala dalam perubatan Cina, bawang banyak digunakan untuk menangani masalah batuk, jangkitan bakteria serta masalah pernafasan.
Masyarakat Syria dikatakan mencampurkan bawang putih ke dalam minuman untuk mengubati demam, cirit-birit dan menahan sakit semasa bengkak. Ia juga dipercayai membantu untuk menguruskan badan, menurunkan paras kolesterol serta tekanan darah tinggi dan menambah kepekatan darah. Kandungan bawang putih bukan saja menghasilkan antibodi, tetapi turut membentuk sistem kawalan secara semula jadi untuk membunuh kuman bagi meredakan demam kepialu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyokong penggunaan bawang untuk mereka yang mengalami masalah kurang selera makan serta mencegah atherosclerosis selain dapat membantu meredakan masalah batuk, asma dan bronkitis.
Serai pula boleh didapati dalam dua jenis utama iaitu untuk dimakan dengan nama saintifik Cymbopogen citratus dan serai wangi, Cymbopogen nardus. Menurut laman web Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), tanaman serai makan dilaporkan berasal dari Sri Lanka dan tersebar luas di kawasan tropika, termasuk Malaysia, Indonesia, Tanzania, Brazil, Guatemala serta China.
Di Malaysia, serai makan terutama batangnya digunakan sebagai bahan perisa dalam masakan tradisional seperti masakan rendang, tom yam, kerabu, masak lemak cili padi dan asam pedas kerana aroma serta rasanya yang unik dapat meningkatkan selera. Di sesetengah negara, serai makan diusahakan khas untuk pengeluaran minyak pati yang berwarna kuning hingga coklat kemerahan dan berbau limau atau lemon. Serai wangi pula banyak digunakan untuk rawatan selepas bersalin dan pening kepala. Caranya adalah dengan menggunakan air rebusan serai wangi sebagai mandian atau dibasahkan kepala dan dilapkan pada seluruh badan. Ia juga banyak digunakan dalam menghasilkan minyak urut untuk mengatasi masalah kebas-kebas, lenguh-lenguh, gigitan serangga dan kembung perut. Bagaimanapun, di kebanyakan negara, serai wangi ditanam khas untuk pengeluaran minyak pati yang dikenali sebagai citronella di pasaran antarabangsa. Seperti herba lain, limau purut juga mempunyai banyak khasiat dan kegunaan. Daunnya banyak digunakan dalam masakan seperti tom yam kerana bau dan rasanya yang unik. Daripada aspek kesihatan, limau purut banyak digunakan sebagai ramuan ubatan dan bahan untuk mandi wap kerana ia dipercayai membantu untuk merawat kulit kepala, luka, lebam dan gigitan serangga berbisa.
credit
Comments
Post a Comment