Skip to main content

Khasiat dan kebaikan cengkih

Rupa bentuknya kecil tetapi ia ada banyak kegunaan dan memberi manfaat untuk kesihatan. Apa yang pasti, apabila disebut bunga cengkih pasti suri rumah mengenalinya sebagai bahan masakan.

Kegunaan utamanya dalam masakan, antaranya ialah sebagai bahan rempah untuk membangkitkan aroma dan juga bagi menambahkan rasa sedap. Justeru, bagi yang gemarkan haruman enak dalam hidangan disediakan, khususnya masakan menggunakan kari atau berasaskan pajeri dan acar, jangan lupa mencampurkan bunga cengkih.

Aroma semerbak yang diterbitkan apabila bunga cengkih ditumis bersama dengan bahan rempah ratus lain, termasuk kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, biji sawi dan sebagainya, membangkitkan selera sehingga rasa tidak sabar untuk menikmati masakan itu.

Cengkih digunakan sebagai perencah, baik dalam bentuknya yang utuh atau sebagai rempah serbuk. Ia bukan saja digunakan di Asia, malah di Eropah.


Selain menyedapkan masakan, cengkih juga boleh digunakan untuk meningkatkan kesihatan dalam penyediaan makanan. Misalnya, kajian di Universiti Kansas di Amerika Syarikat berkaitan rempah mendapati, cengkih berkuasa sebagai antibakteria dan membantu memusnahkan Escherichia Coli Infection (E.Coli) dalam daging.

Caranya, gaul satu sudu serbuk cengkih pada daging sebelum memasak sebagai cara untuk menjadikan hidangan anda sekeluarga menyihatkan.

Bukan saja untuk aroma makanan, ramuan cengkeh juga digunakan untuk menghasilkan wangian yang memberikan haruman dengan impak tersendiri.

Bantu tingkatkan kesihatan

Satu lagi cerita menarik mengenai cengkih yang pernah diperkatakan ialah mengenai amalan seorang guru agama di pondok tersohor di Kelantan, yang selalu mengunyah rempah itu sejak berumur 17 tahun lagi. Walaupun sudah mencecah usia 90an, Tok Guru itu dikatakan, masih sihat dan boleh mengaji al-Quran dan mengajarnya dengan baik.

Amalan Tok Guru itu mengunyah cengkih 10 kuntum setiap hari dan menghisap airnya, dikatakan membantu meningkatkan kesihatannya supaya sentiasa sihat manakala penglihatannya masih tajam. Itulah antara kehebatan cengkih, tanpa perlu mengeluarkan belanja banyak, ia ternyata amat berguna dan memberi manfaat dalam penjagaan kesihatan.

Hakikatnya, cengkih banyak mengandungi kandungan kimia yang bermanfaat kepada bidang kesihatan. Kajian mengenai rempah ini mendapati, eugnol yang dimilikinya dapat mencegah pembekuan darah dan dapat membantu mencegah strok.

Cengkih turut digunakan untuk mengubati beberapa penyakit. Malah, pengambilannya membantu merangsang pengaliran darah. Dengan itu pencernaan dan metabolisme tubuh mampu meningkat.

Penyelidik Jepun mendapati, seperti kebanyakan rempah ratus, cengkih mengandungi antioksida. Antioksida membantu mencegah kerosakan sel yang akhirnya menyebabkan barah.

Dalam perubatan Cina pula, cengkih sering digunakan untuk mencegah mual dan mengatasi gangguan pencernaan. Rebusan cengkih bersama daun basil dan daun pudina, dipercayai dapat menurunkan tekanan.

Penggunaan rawatan tradisional

Selain itu, ia juga digunakan secara meluas dalam penjagaan pergigian untuk melegakan sakit gigi, sakit gusi dan ulser mulut. Perisa dan minyak cengkih menyekat pertumbuhan bakteria. Justeru, untuk gusi yang sihat, masukkan satu atau dua sudu cengkih dalam satu cawan teh pekat dan minum.

Cengkih atau nama saintifiknya Eugenia Aromaticum juga mengandungi pelbagai mineral, termasuk besi, magnesium, fosforus, natrium, kalsium, asid hidroklorik, kalium dan Vitamin C, K dan A.

Khasiat itu juga menyebabkan sejak dulu, cengkih terkenal digunakan sebagai ramuan untuk perubatan tradisional. Antaranya, menghilangkan bau mulut iaitu dengan cara, ambil sekuntum bunga cengkih hidup atau yang kering dan kunyah.

Zaman dahulu, cengkih juga lazim digunakan untuk mengubati penyakit campak. Caranya, rendam semalaman beberapa cengkih di dalam air masak, kemudian ditambah dengan gula batu dan kacau hingga rata. Lalu, minum air berkenaan sedikit demi sedikit secara teratur.

Ada juga menggunakannya untuk mengubati batuk iaitu dengan mencampurkan bersama beberapa bahan lain seperti sirih, pelaga, gula batu dan sebagainya. Bahan dicampur direbus, kemudian airnya ditapis dan diminum dua kali sehari bagi menghilangkan batuk.

Selain untuk rawatan, cengkih juga berguna untuk beberapa petua lain seperti untuk mengusir nyamuk dan semut. Malah, cengkih juga dikatakan berkesan sebagai perangsang seksual atau menaikkan syahwat untuk lelaki.

Menarik mengenai cengkih

* Pada abad keempat, Raja Dinasti Han Cina memerintah setiap orang yang akan mendekatinya mesti mengunyah cengkih terlebih dulu supaya nafas mereka harum.

* Pada zaman Romawi, cengkih, pala dan lada adalah rempah ratus yang tersangat mahal.

* Cengkih menjadi bahan dagangan pertukaran oleh bangsa Arab pada abad pertengahan. Pada akhir abad ke-15, orang Portugis mengambil alih dagangan pertukaran di Lautan Hindi, seterusnya menguasai perdagangan cengkih melalui perjanjian Tordesillas dengan Sepanyol.

* Orang Portugis membawa cengkih yang mereka peroleh dari kepulauan Maluku ke Eropah dengan harga satu kilogram (kg) cengkih bersamaan 7 gram emas.

* Perdagangan cengkih akhirnya didominasi oleh orang Belanda pada abad ke-17. Orang Perancis berhasil membudayakan tanaman cengkih di Mauritius pada 1770. Diikuti dengan Guyana, Brasilia dan Zanzibar.

* Pokok cengkih tertua di dunia tumbuh di wilayah Tongole, daerah Ternate Tengah, enam kilometer dari pusat kota Ternate, Indonesia. Pokok yang disebut sebagai Cengkih Afo ini berumur 416 tahun, tingginya 36.60 meter (m), berukuran lilit 198m dan keliling batang 4.26m. Setiap tahun ia, menghasil sekitar 400kg bunga cengkih.

* Doktor tradisional Cina sudah lama menggunakan cengkih untuk merawat senak perut, masalah penghadaman, cirit-birit, angin pasang (hernia) dan kurap, serta penyakit celah jari kaki (athlete's foot) dan lain-lain jangkitan kulat.

* Pengamal perubatan tradisional Ayurveda India menggunakan cengkih sejak zaman purba bagi merawat penyakit pernafasan dan penghadaman.

* Perubatan herba zaman pertengahan Jerman menggunakan cengkih sebagai sebahagian daripada ramuan campuran rawatan anti-gout.

Oleh Nor Affizar (Berita Harian)

Sambung Baca: http://anizyn.blogspot.my/2013/10/khasiat-cengkih-khasiat-herba-warisan.html#ixzz3zV3oQTcT

Comments

Popular posts from this blog

Buah Pelaga

Assalamualaikum dan salam sejahtera, Buah pelaga antara rempah ratus paling tua di dunia. Buah pelaga juga dikenali dengan nama botaninya elettaria cardamomum. Ia merupakan tumbuhan semulajadi di timur dan berasal dari dalam hutan di selatan India. Ia tumbuh secara meliar. Kini, buah pelaga turut ditemui di Sri Lanka, Guatemala, Indo China dan Tanzania. Ðikenali juga dengan nama kapulaga (Indonesia), chhoti elachi (India), ts’ao-k ou (Cina), elam (Tamil), dan grawahn (Thai), buah pelaga memang banyak kegunaannya sejak daripada zaman dahulu. Orang Mesir kuno dikatakan telah mengunyah biji buah pelaga sebagai  pencuci gigi , manakala orang Greek dan Roman menggunakannya sebagai  minyak wangi . Orang Viking pula dikatakan telah berjumpa dengan buah pelaga ini kira-kira seribu tahun lalu di Constantinople, kemudian telah memperkenalkannya ke Scandinavia, tempat di mana buah pelaga kekal popular sehingga kini. Buah pelaga merupakan rempah yang kedua mahal selepas  saffron . Terdapat b

Mengenal Perbedaan Kayu Manis Ceylon dengan Jenis Kayu Manis yang Lain

Apakah anda sedang mencari tahu tentang salah satu rempah yang saat ini punya khasiat ajaib untuk kesehatan dan kecantikan? Jika jawabannya iya, maka kayu manis Ceylon adalah rempah yang anda cari. Jenis rempah beraroma khas nan harum ini tidak hanya enak saat dijadikan bahan masakan, sudah berabad-abad kayu ini membuktikan manfaatnya sebagai obat herbal yang mujarab untuk mengusir berbagi macam penyakit. Mungkin anda sudah mengetahui sedikit banyak mengenai manfaat apa saja yang ditawarkan kayu yang tumbuh di Asia ini. Masalahnya, tahukah anda bahwa kayu manis memiliki berbagai jenis. Masing-masing tentu memiliki khasiat berbeda. Ini berarti anda harus jeli dalam membeli kayu manis. Tidak boleh sembarang mengatakan “saya ingin membeli kayu manis.” Ada kemungkinan kayu manis ceylon yang anda maksudkan berbeda dengan yang diberikan oleh penjual. Untuk meminimalisir hal tersebut terjadi, akan sangat baik jika anda mengenal betul ciri-ciri kayu manis ceylon. Pengenalan yang dalam

Tahi Angin

Assalamualaikum dan selamat malam semua. Pada malam ini saya akan menyentuh mengenai topik herba tahi angin. Mesti anda semua pelik kan? Macam mana lah rupanya tahi angin ni? Kalau kebiasaannya kita selalu mendengar tentang tahi bintang...hehehe jangan salah faham ye sahabat sahabat di luar sana, Dia bukan spesis yang sama. Tumbuhan ini bukan akar, adalah nama tumbuhan yang bentuknya menyerupai akar. Bentuk yang unik menjadikan tumbuhan ini menjadi impian bagi pencinta taman dalam menghias rumah mereka. Ternyata bukan sahaja baik untuk digunakan sebagai tumbuhan hidup, ia juga boleh menjadi bahan herba semulajadi yang dapat mencegah dan mengatasi penyakit-penyakit di dalam tubuh anda. Maka apakah sebatian yang terkandung dalam akar ini? Akar angin mengandungi vitamin C, lycin, asid barbatin, asid usnetin, hidrat arang, asid barbotolat, asid unseat, dan banyak lagi. Setiap sebatian ini mempunyai sifat sendiri untuk badan anda. Sekiranya anda menggunakan akar ini sebagai ubat, tubuh anda